Perangai Ibu Bapa Membentuk Kehidupan Anak

Untuk mendidik anak-anak menjadi mereka yang berjaya atau dengan maksud sebenar (dalam keluarga Islam) menjadi anak-anak yang soleh dan solehah perlukan ilmu dan kemahiran keibubapaan.

Akan tetapi yang sebenarnya, sikap ibu bapa yang lebih penting dan utama ketika mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak.

Anak-anak tidak ikut sangat apa yang ibu bapa mereka cakap tapi lebih mengikut apa yang ibu bapa mereka buat.

Ibu bapa mana suka anak mereka merokok dan mereka melarangnya. Larangan itu tidak berkesan bila bapa melarang anak merokok ketika dia sedang merokok!

Dalam usaha Nabi Muhammad  SAW mendidik manusia seperti yang diperintah, bukan hanya melalui percakapan sahaja tetapi disandarkan kepada perilaku baginda SAW sendiri. Cakap dan buat Nabi Muhammad SAW adalah seiring. Malah dalam banyak keadaan, baginda SAW berbuat dahulu sebelum menyuruh umatnya berbuat.

Tindakan lebih memberi kesan berbanding percakapan.

Inilah yang perlu diikuti oleh setiap ibu bapa yang ingin membentuk kehidupan setiap anak mereka di masa hadapan.

ADA SATU KISAH

Seorang bapa mengadu kepada seorang penasihat keluarga jabatan agama berkenaan anaknya yang suka mencuri pensel kawan-kawan di sekolah.

Sudah berkali-kali dinasihat supaya jangan mencuri! Anaknya tetap suka mencuri. Bukan tidak diberi pensel untuk ke kelas, tapi masih mencuri. Bukan sekali dua, malah banyak kali si bapa ambil pensel di pejabat untuk diberi pada anak, tapi anaknya tetap mencuri pensel kawan.

Ambil pensel di pejabat?

Bila hal ini diingatkan, si bapa terkejut! Mana mungkin anaknya mahu ikut larangan supaya tidak mencuri, sedangkan pensel yang diberi si bapa padanya juga hasil curian pensel milik syarikat di pejabat si bapa.

Bapa dan anaknya sama sahaja – 2×5, 5×2.

Ungkapan lama ada betulnya. Air najis tidak dapat membersihkan najis. Ketam tidak dapat mengajar anaknya berjalan betul. Like father like son. Bapa borek anak rintik. Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Kayu bengkok tidak dapat hasilkan bayang lurus. Dan ungkapan lain.

Sikap atau perangai ibu bapa sangat berpengaruh menentukan akhlak anak-anak. Bila ibu bapa bersikap baik, anak-anak mudah mengikut kebaikan itu. Bila ibu bapa bersikap buruk, keburukan itu akan berjangkit kepada anak-anak.

SIKAP ANAK TERBENTUK DENGAN DUA CARA

Bagaimana caranya anak-anak dicorak keperibadian mereka ditentukan oleh dua keadaan;

1# Secara genetik

Telah dibuktikan secara saintifik, pengaruh genetik ibu bapa akan mempengaruhi rupa zahir dan perangai dalaman anak-anak.

Warna rambut, kulit dan sebagainya akan turun pada anak-anak. Bukan itu sahaja penyakit ibu bapa boleh menjadi penyakit keturunan kepada anak cucu. Turut diwarisi anak-anak adalah penyakit ‘batin’ ibu bapa seperti pemarah, kedekut, sombong dan sebagainya.

Bukan terbukti secara saintifik sahaja, ia sebenarnya diakui benar dalam Islam sejak dahulu lagi.

Melalui hadis riwayat Ibn Asakir, Nabi Muhammad SAW menyuruh lelaki memilih tempat yang baik untuk air mani mereka (pilih isteri yang baik). Kerana kaum wanita akan melahirkan anak-anak yang bukan serupa dengan suaminya, tapi serupa dengan adik beradik sendiri.

Jadi lelaki yang ingin berkahwin, jangan semata-mata tengok bagaimana perangai bakal isteri, ambil tahu juga bagaimana perangai bakal ipar!

Dalam konteks yang sama, Nabi Muhammad SAW turut bersabda melalui hadis riwayat Ibn ‘Adi, “Kahwinilah golongan yang soleh sebab nasab keturunan itu memberi pengaruh.”

Bagaimana bila seorang lelaki menemui wanita yang baik tapi adik beradik wanita itu tidaklah baik menurut pandangan lelaki itu. Adakah wanita itu mahu ditinggalkan hanya sebab takut, anak-anak yang bakal dilahirkan wanita itu akan sama seperti adik beradiknya?

Jangan lepaskan wanita yang baik itu hanya kerana adik beradiknya tidak baik menurut pandangan anda. Soal genetik ini boleh ‘ditolak’ ke tepi kerana keadaan ke#2 ini.

2# Secara didikan

Cara yang kedua ini adalah yang lebih penting dan utama.

Imam alGhazali menegaskan watak semulajadi manusia itu boleh diubah. Perangai anak yang dilahirkan ibu bapa yang jahat boleh diubah menjadi anak yang baik bila didikannya betul. Perangai yang baik boleh berubah menjadi jahat melalui didikan yang silap.

Melalui didikan, ibu bapa boleh menjadikan anaknya seorang Islam atau Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Atas dasar didikan inilah, para rasul diutuskan. Rasulullah SAW bersabda melalui hadis riwayat Imam alBukhari, “Sesungguhnya aku diutus untuk memperbaiki akhlak manusia.”

Pendidikan untuk membentuk karekter atau akhlak anak-anak bukan hanya melibatkan proses pemindahan ilmu melalui lisan dan bacaan, ia juga melibatkan tindakan dan perlakuan di semua tempat dan di setiap masa.

Ibu bapa perlu mencontohi bagaimana Nabi Muhammad SAW mendidik para sahabat sebagai cara mendidik anak-anak.

Perbuatan nabi juga adalah pendidikan. Kerana itu banyak juga hadis yang dicatatkan berkenaan kelakuan nabi bukan hanya hadis  percakapan semata-mata.

IBU BAPA ADALAH GURU SEBENAR

Guru sekolah hanya mengajar secara lisan dan ibu bapa adalah tempat anak-anak melihat ilmu itu dilaksanakan.

Bila di sekolah anak-anak diajar tentang kebersihan oleh guru tapi di rumah anak-anak melihat bapa atau ibu membuang sampah di jalanan bukan di tong sampah, bagaimana tahap kebersihan yang akan diamalkan oleh anak itu bila mereka besar nanti?

Murid hanya mempunyai masa yang terhad bersama guru di sekolah dan mereka menghabiskan lebih banyak masa di rumah. Maka ibu bapa lebih terdedah untuk dilihat dan diteladani oleh anak-anak.

Setiap anak lebih mempercayai dan lebih memberi bekas dalam hatinya, apa yang dilihat berbanding apa yang didengar. Meskipun apa yang didengar itu amanat, syarahan atau nasihat.

Ibu bapa sebenarnya pendidik paling berpengaruh dalam mendidik anak-anak. Dalam apa juga situasi peranan ibu bapa lebih penting.

PERBUATAN DAN PERCAKAPAN MESTI SEIRING

Anak-anak hendaklah lebih banyak diajak daripada diarah untuk melakukan sesuatu kebaikan atau meninggalkan sesuatu perbuatan buruk. Diajak bermaksud ibu bapa turut serta dalam aktiviti anak-anak.

Bila ibu bapa bersama anak-anak dalam setiap aktiviti, ketika itulah setiap pengajaran melalui percakapan akan mudah diserap oleh anak.

Cara yang betul mahu memastikan anak-anak bersolat adalah dengan bersolat sekali dengan mereka(berjemaah di rumah). Bukan ibu bapa solat sendiri-sendiri kemudian menyuruh anak-anak solat sendirian pula.

Begitu juga ketika makan, jangan suruh anak makan sendirian dengan alasan ibu atau ayah masih kenyang. Anak-anak makan sendirian, ibu sibuk membasuh dan bapa membaca akhbar sambil menonton TV.

Sedang ketika makan, ibu ayah boleh bertanya tentang apa-apa pada anak. Selepas solat ibu bapa boleh mendidik dan mengajar soal-soal agama dan sebagai. Ketika ini, apa yang dinasihatkan oleh ibu atau bapa akan mudah diserap oleh anak-anak.

Bila anak-anak diarah sahaja melakukan sesuatu sedang ibu bapa tidak turut serta, maka proses pendidikan akan terencat.

Ibu bapa adalah teladan kepada anak-anak. Mereka lahir seperti kain putih. Ibu bapa yang menentukan kain itu kekal putih atau penuh corak dan berwarna.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *