8 Langkah Untuk Elakkan Ruam Lampin Bayi

Adalah menjadi perkara biasa bila bayi anda terkena ruam lampin.

Kadang kalanya, ruam juga boleh terjadi kepada orang dewasa, baik lelaki juga wanita bila memakai jenis pakaian atau wangian atau alat kosmetik yang tidak sesuai dengan kulit si pemakai.

Kulit bayi lebih halus dan sensitif, jadi ruam lampin lebih mudah terjadi kepada mereka.

Ruam lampin boleh dipastikan bila punggung bayi kemerah-merahan dan tumbuh bintik ruam halus. Ia membuatkan bayi tidak selesa. Bayi akan asyik merengek.

Ruam lampin bukanlah satu penyakit, jadi ibu bapa tidak perlulah risau sangat.

Namun ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Ibu bapa juga yang susah bila bayi merengek dan asyik menangis! Lagi pula ruam lampin ini boleh dicegah.

Berikut ialah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan bayi kerap terkena ruam lampin:

1# Guna lampin ketika perlu sahaja

Usahlah pakaikan bayi lampin sepanjang masa hanya semata-mata ibu bapa mahukan kerja senang.

Lampin sepatutnya dipakaikan kepada bayi bila membawa bayi keluar rumah sahaja. Di rumah, cukuplah membalut bayi dengan kain. Bila bayi membuang air atau najis, terus tukarkan kain. Ibu bapa kenalah rajin sedikit!

2# Kerap menukar lampin

Pastikan bayi sentiasa kering dan bersih. Jangan bila bayi buang air besar baharu mahu tukarkan lampin. Bila bayi buang air kecil, ia dibiarkan lama dipakai hanya kerana tidak mahu membazirkan lampin.

Menurut Dr Jeannette Pergam, Pakar Kanak-kanak di Universiti of Nebraska, walau bayi tidak buang air kecil atau besar, lampin patut kerap ditukar juga kerana kelembapan akibat peluh boleh menyebabkan ruam pada kulit bayi.

3# Guna kain bukan tisu pelembap

Jauhi penggunaan tisu pelembap ketika membersih punggung anak. Ramai ibu bapa gunanya. Memudahkan, hanya pakai untuk membersih kemudian buang.

Tisu pelembap mengandungi alkohol dan beberapa bahan kimia lain. Penggunaannya boleh menyebabkan masalah kepada kulit bayi

Ibu bapa sepatutnya guna kain bersih yang basah bersama sabun. Itu lebih baik untuk membersih punggung bayi. Memanglah kena rajin sedikit untuk membersih dan membilas kain itu.

4# Keringkan secara semulajadi

Jika lampin sentiasa perlu dipakaikan kepada bayi, jangan terus pakaikan yang baharu setelah membuang yang lama.

Biarkan bayi terdedah tanpa pakaian untuk beberapa minit sebelum dipakaikan lampin baharu. Tapi tentulah bayi perlu dibersihkan dahulu.

5# Gunakan salap

Mungkin ada menganggap penggunaan salap akan membuatkan kulit bayi lembab. Namun dalam kes penggunaan salap, sebahagian besarnya ia boleh melindungi kulit bayi daripada masalah ruam.

Kebanyakkan pakar kanak-kanak juga mengesyorkan pengunaan krim ruam atau salap setiap kali sebelum memakaikan lampin. Salap akan bertindak sebagai penghalang kepada najis dan air kencing yang boleh menimbulkan ruam pada kulit bayi.

6# Gunakan bedak bayi

Selain salap, bedak debu juga boleh digunakan.

Selalunya ibu bapa akan menuang bedak atas kulit bayi kemudian menyapunya. Cara yang betul adalah, bedak itu dituang atas tapak tangan kemudian meratakannya sebelum disapu ke punggung bayi. Cara ini untuk memastikan bedak disapu sama rata.

Bila bedak dituang pada kulit bayi kemudian menyapunya, sapuannya mungkin tidak rata. Bahagian sapuan yang tebal sikit mungkin membuatkan bayi tidak selesa.

7# Jemur lampin kain

Jika guna lampin kain, sebaiknya keringkan dengan menjemur di bawah terik matahari. Mematikan kuman dengan cahaya matahari lebih bagus berbanding mengeringkannya dengan alat pengering pakaian.

8# Guna seluar kain

Ada ibu bapa menggunakan seluar plastik. Sekali lagi ibu bapa jangan malas untuk membasuh seluar anak. Penggunaan seluar plastik memang memudahkan ibu bapa untuk membersihkannya selepas diguna.

Seluar plastik akan membuatkan lampin cepat lembap sekaligus menjadi punca sebenar ruam lampin kepada bayi.

Diharapkan panduan 8 langkah untuk mengelakkan ruam lampin kepada bayi ini akan membantu ibu bapa di luar sana.

Sila kongsikan artikel ini jika ia berguna kepada anda. Ia pasti berguna kepada orang lain juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *