7 Perangai Ibu Bapa Yang Boleh Dianggap Penderaan Kepada Anak

Bila disebut mendera anak, ramai memahaminya sebagai memukul dengan teruk tanpa belas, tidak bagi makan, memaki, mengurung dan sebagainya.

Itu dosa, ibu bapa yang ada iman dalam hatinya tidak akan mendera anak dengan bentuk penderaan yang difahami itu.

Akan tetapi tanpa sedar, banyak penderaan lain yang ibu bapa lakukan kepada anak-anak tanpa mereka sedar.

Kerana tanpa sedar ini, kadang-kadang ibu bapa bergelar ustaz dan lebai juga melakukan penderaan kepada anak-anak!

Ibu bapa buat kerana anggap itu bukan penderaan.

Ibu bapa buat kerana anggap, ini tidak apa-apa. Biasa-biasa.

Akan tetapi rupanya, ibu bapa sedang melakukan penderaan! Penderaan tanpa sedar. Penderaan senyap!

Kawalan emosi dan keyakinan diri adalah dua elemen ‘pembangunan manusia’ selain iman dan ilmu. Dua elemen ini mengambil masa yang lama untuk dibentuk, tetapi sangat mudah ‘diruntuhkan’.

Penderaan tanpa sedar boleh ‘membunuh’ dua elemen yang penting ini ketika anak-anak membesar. Apa akan jadi kepada anak-anak bila mereka besar bila dua elemen ini ‘dibunuh’ ketika mereka sedang membesar?

Dikatakan kesan buruk penderaan tanpa sedar atau penderaan senyap ini sama seperti penderaan nyata.

Penderaan tanpa sedar ini adalah ‘sikap’ atau perangai atau kelakuan ibu bapa ketika bersama anak.

Cuba nilai apakah 7 sikap ibu bapa yang ‘membunuh’ ini ada pada diri kita?

1# Tidak memberi reaksi (perhatian) atau mengabaikan

Bila anak-anak tunjukkan sesuatu, kita hendak tidak hendak sahaja pandang atau bila anak beritahu sesuatu, kita buat tidak tahu.

Kita layan anak sambil sibuk buat benda lain. Kalau benda yang kita buat itu sememangnya kena buat masa itu, itu hal lain. Tetapi kebanyakkan kerja yang kita buat boleh ditinggalkan. Boleh dibuat lain masa.

Anak hendak bermanja dan ajak bermain, kita asyik layan facebook. Anak hendak beritahu perihal kerja sekolah dan minta tunjuk ajar, mata kita asyik melayan drama TV.

Bukan sahaja tidak memberikan reaksi, kita sering mengabaikan anak-anak tanpa sedar. Selalunya hal keinginan mereka.

Bila kita mahu membawa mereka keluar, mungkin anak-anak membuat permintaan ini, “mama, abang rasa nak pakai baju warna hijau la hari ni.”

Kita terus menjawab, “tak payah!” Kita terus bagi baju warna lain yang kita suka anak pakai. Bayangkan apa yang kita rasa bila berada di tempat anak itu?

Menurut kajian, anak-anak yang selalu mendapat layanan begini akan selalu membuat keputusan yang salah dalam hidupnya, kerana keputusan yang mereka buat tidak didengari dan selalu kena akur dengan keputusan orang lain.

Ibu bapa berhak dan boleh melarang kehendak anak-anak bila mereka mahu makanan jajan yang memudaratkan kerana ada alasan dan sebab kuat untuk diberitahu kepada mereka kenapa mereka dlarang.

Tetapi alasan apa untuk melarang anak-anak memakai baju dengan warna kesukaan mereka? Hanya kerana kita tidak suka dengan warna itu?

2# Kaku seperti dinding

Anak-anak mahu bercakap dengan kita, tetapi seolah-olah mereka bercakap dengan dinding yang tidak ada perasaan.

Anak-anak mahu bermesra, mahu mengetahui dengan lebih mendalam siapa ibu mereka dan siapa bapa mereka. Sebab itu kadang-kadang anak bertanya,

“Mama suka warna apa?” Tetapi ibu endah tidak endah sahaja menjawab, “entahlah, mama pun tidak tahu warna apa mama suka. Apa-apa jelah.”

Malas mahu melayan soalan anak, sengaja melewat-lewatkan jawapan. Kalau jawab pun, jawapannya tidak tepat dengan soalan.

Masa berkualiti dengan anak-anak bukan hanya bermaksud anak kena ada depan mata. Ia bermaksud 101% perhatian diberi kepada mereka. Perhatian yang ‘sambil-sambil’ itu adalah penderaan tanpa sedar.

3# Tawaduk tidak bertempat

Sikap tawaduk atau merendah diri atau tidak angkuh dengan kelebihan diri dan bila dipuji orang itu sebenarnya sikap mulia.

Namun kadang-kadang kita mengamal tawaduk dengan cara salah. Contoh bila ada orang puji anak kita,

“Baiknya anak kak ni. Saya suka tengok perangai dia.”

Kita pun jawab,

“Baik? Baik apanya, makan bersepah, lepas main tak reti nak kemas barang, kuat menangis, bla…bla…bla…”

Kononnya kita kita tidak mahu riak, mahu merendah diri, tawaduk tidak mahu menerima pujian itu. Dan kita jawab begitu.

Tetapi tanpa sedar, kita mengutuk anak sendiri. Membuka aib anak sendiri depan orang lain. Hati anak pasti terluka. Walau dia kecil, dia ada perasaan malu.

Sepatutnya ibu bapa menerima pujian itu dengan ucapan Alhamdulillah kepada Allah dan kembalikan pujian itu kepada anak. Cara ini juga akan membuatkan anak kita berasa malu. Bukan kerana malu dihina tetapi malu kerana berasa tidak seperti yang dipuji.

Ini akan mendorong anak untuk berbuat lebih baik di kemudian hari di samping dorongan yang kita beri.

4# Suka meragui dan menidakkan

Ramai ibu bapa yang meragui dan suka menidakkan sesuatu yang diberitahu oleh anak.

Ada anak yang memberitahu di sekolah ada orang baling pemadam terkena matanya. Kita hanya menjawab,

“Ala tidak ada apa-apa pun. Biasa la tu bila belajar ramai-ramai. Buat tak tahu je.”

Kita tidak menanyakan keadaan matanya kini. Mungkin anak masih terasa sakit atau hanya sekadar mahu perhatian kita.

Bila anak beritahu yang dia nampak sesuatu yang menakutkan. Kita hanya menjawab,

“Mengarutlah. Kamu ni takut yang bukan-bukan. Mengelamun je, sebab tu lihat  yang bukan-bukan. Bla…bla…bla”

Anak-anak akan keliru dan bercelaru jiwa dan perasaan mereka. Kerana kita tidak memberi penjelasan yang munasabah kepada sesuatu atau perkara yang mereka lihat atau alami.

Jika begini anak-anak akan hilang kepercayaan diri. Mereka akan rasa setiap apa yang mereka alami atau fikirkan adalah salah dan tidak penting.

dan hilang kepercayaan pada diri.

Anak-anak akan rasa setiap apa yang dibuat atau difikirkan adalah salah dan tak penting.

Sekurang-kurangnya jika tidak dapat memberi penjelasan yang munasabah kepada anak, cukuplah kita memberi mereka harapan yang bila berlaku sesuatu, kita ada dekat dengan mereka. Keadaan akan menjadi baik kerana kita ada bersama mereka.

5# Semua mesti sempurna

Sebenarnya ibu bapa yang mahukan semua sempurna adalah ibu bapa yang cerewet!

Terlalu banyak yang hendak dikomplen kepada anak-anak. Ada sahaja yang tidak kena. Anak-anak asyik kena marah. Di mata ibu bapa ada sahaja yang tidak kena.

Anak comot ketika makan atau bermain, kena marah. Anak asyik tidur keletihan, kena marah. Anak bergurau lebih-lebih sikit sesama adik beradik, kena marah. Anak cakap lambat sebutir-sebutir, kena marah. Marah. Marah.

Bila kita punya perangai sebegini terhadap anak bukanlah disebabkan kita mahukan anak menjadi sempurna seperti yang kita inginkan, tapi disebabkan kita sendiri tidak bersyukur dan tidak boleh terima kekurangan diri sendiri.

Cermin diri sendiri dahulu sebelum meminta kesempurnaan dari anak-anak.

Hidup yang gembira bukan kerana kesempurnaan, tetapi bila dapat menerima kekurangan dan meraikan sekecil-kecil kejayaan.

6# Tidak menghargai, kurang memuji,…..

Kadang-kadang kita bersikap ego dengan anak sendiri. Susah untuk cakap ‘I love you’ pada anak-anak.

Bila anak mencapai sesuatu, tidak mahu pula mengucap tahniah. Kita selalu membandingkan dengan pencapaian orang lain,

“Ala, biasa la tu. Sepupu kamu ‘si anu’ tu lagi hebat.”

Lagi teruk bila bila beri respon,

“Ayah dulu lagi hebat.” Atau “Mak dulu, buat lagi bagus.”

Memang teruk bila ibu bapa membandingkan diri mereka dengan anak sendiri.

Kita anggap apa yang anak-anak lakukan biasa-biasa sahaja. Tidak penting sangat. Sebab itu bila anak gementar sewaktu mahu masuk pertandingan, kita tidak memberi sokongan kata-kata semangat. Paling teruk kita tidak datang! Hanya mengharapkan pengasuh atau guru kelas.

Jangan terkejut atau terasa hati bila anak-anak sudah besar dan mencapai kejayaan peribadi mereka, mereka langsung tidak berterima kasih dan mengaitkan kejayaan mereka dengan kita sebagai ibu bapa mereka.

7# Mendiamkan kesilapan

Anak-anak nakal itu biasa. Ia tidak teruk sangat. Yang teruk bila ibu bapa membiarkan kenakalan itu tanpa membimbing dan membentuk.

Bila dapat aduan pihak sekolah yang anak kita ponteng, suka buli rakan, kita buat tidak tahu. Anggap itu normal bagi anak-anak sedang membesar. Kita lepas tangan. Kita biarkan guru-guru membuat keputusan. Kita tidak berdepan dengan anak-anak.

Sikap tidak peduli ini membuatkan anak-anak menganggap kenakalan itu normal, biasa dan boleh dibuat berulang kali! Perbuatan itu tidak berdosa.

Ini 7 perbuatan atau perangai ibu bapa yang boleh dianggap penderaan senyap yang tidak disengajakan. Banyak berlaku!

Kita tidak perlu melihat perkara ini di rumah orang lain. Setiap ibu bapa perlu menilai diri sendiri.

Tidak boleh memandang remeh isu ini kerana kesannya terhadap perkembangan peribadi anak sama seperti kesan penderaan fizikal atau penderaan nyata. Cuma kesan penderaan senyap ini berlaku secara perlahan. Bila sudah besar baharu nampak kesannya.

Memang sedih bila perkara ini dianggap isu remeh dan perkara biasa ibu bapa bersikap begitu.

Tetapi belum terlambat untuk setiap ibu bapa membuat perubahan.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *